Apa itu Jangkitan Saluran Kencing (UTI)?

UTI ialah sejenis jangkitan dalam mana-mana bahagian saluran kencing.

Saluran Kencing

Saluran kencing ialah sistem saliran dalam tubuh kita untuk mengeluarkan sisa dan lebihan air. Ia termasuklah:

Ginjal – dua organ berbentuk seperti kacang yang menghasilkan air kencing daripada bahan-bahan kumuh daripada darah
Ureter – tiub yang bersambung dari ginjal ke pundi kencing
Pundi kencing tempat di mana air kencing disimpan sehingga kita pergi ke tandas
Uretratiub dari pundi kencing yang membawa air kencing keluar dari badan

Bagaimana UTI Boleh Berlaku

UTI berlaku apabila sebahagian daripada sistem urinari kita dijangkiti bakteria. Lebih kurang 80 hingga 90% UTI adalah disebabkan oleh sejenis bakteria yang dipanggil E. coli. Bakteria ini biasanya hidup dalam usus kita dan tidak berbahaya tetapi kadang-kadang bakteria ini masuk ke dalam saluran kencing lalu menyebabkan UTI.

Air kencing berasid yang dihasilkan oleh jangkitan bakteria akan merengsakan uretra yang telah mengalami keradangan, lalu menyebabkan anda terasa pedih ketika kencing– dan ini boleh menyebabkan kesakitan dan rasa tidak selesa.

Jenis-Jenis UTI

UTI selalunya diklasifikasikan sebagai bahagian atas atau bahagian bawah mengikut tempat di mana jangkitan berlaku di sepanjang saluran kencing.

UTI Bahagian BawahSaluran kencing bahagian bawah terdiri daripada pundi kencing dan uretra. Jangkitan dalam saluran kencing bahagian bawah boleh menjejaskan uretra (uretritis) atau pundi kencing (sistitis).


UTI Bahagian Atas:
Saluran kencing bahagian atas terdiri daripada ginjal dan ureter. Jangkitan dalam saluran kencing bahagian atas secara umumnya menjejaskan ureter (ureteritis) dan ginjal (pielonefritis).

UTI biasanya terjadi di saluran kencing bahagian bawah terlebih dahulu. Jika jangkitan ini tidak dirawat dengan segera, bakteria akan merebak ke saluran kencing bahagian atas. UTI bahagian atas berkemungkinan menjadi lebih serius daripada UTI bahagian bawah kerana terdapat risiko berlaku kerosakan ginjal.

» Rujukan

  1. National Kidney Foundation. 2010. Urinary Tract Infections. New York: National Kidney Foundation. Inc.
  2. National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases. 2011. What I need to know about Urinary Tract Infections. Maryland: NIH Publication.

» Tutup Rujukan

ureter-new

Simptom-Simptom UTI

line

Simptom-simptom UTI bergantung kepada bahagian mana di dalam saluran kencing yang telah dijangkiti.

Simptom-simptom UTI bahagian bawah yang biasa termasuklah:

  • Kerap rasa hendak kencing
  • Rasa pedih atau sakit semasa kencing
  • Rasa kencing tidak lawas
  • Air kencing keruh atau kemerahan
  • Air kencing berbau busuk

Sekiranya bakteria memasuki ureter dan merebak ke ginjal (UTI bahagian atas), anda juga mungkin mempunyai simptom-simptom seperti:

  • sakit di bahagian bawah belakang
  • rasa sejuk
  • demam
  • rasa loya
  • muntah-muntah

Sila berjumpa doktor dengan segera jika anda mengalami mana-mana daripada simptom ini kerana jangkitan ginjal adalah sesuatu yang serius dan perlu dirawat dengan segera.

» Rujukan

  1. National Kidney Foundation. 2010. Urinary Tract Infections. New York: National Kidney Foundation. Inc.
  2. National Health Service, UK. 2014. “Urinary tract infections in adults – Symptoms.”

» Tutup Rujukan

Lagi Tentang Jangkitan Saluran Kencing

Adakah anda sudah biasa dengan mana-mana simptom di atas? Kajian menunjukkan bahawa UTI sebenarnya berlaku lebih kerap daripada yang kita sangkakan. Tiada sebab untuk anda menderita atau rasa malu apabila anda mendapat UTI. Lindungi diri anda dengan pengetahuan tentang apa yang menyebabkan UTI dan tip-tip pencegahan untuk membantu menjauhkan UTI. Teruskan membaca…

Lelaki dan wanita boleh mendapat UTI tetapi wanita lebih mudah terkena jangkitan kerana:

  • Struktur Saluran Kencing Perempuan

Wanita mudah mendapat UTI kerana uretra mereka adalah lebih pendek dan lurus (1.5 inci berbanding 8 inci bagi lelaki), menyebabkan mudah untuk bakteria masuk ke dalam pundi kencing. Selain daripada itu, kedudukan uretra yang hampir dengan bukaan dubur (di mana bakteria biasa didapati) meningkatkan risiko mendapat jangkitan bakteria.

  • Perubahan-perubahan hormon

Sesetengah wanita lebih berkemungkinan mendapat UTI pada waktu-waktu tertentu dalam kitaran haid mereka (apabila tahap estrogen mereka lebih rendah seperti waktu hampir datang haid), semasa hamil dan selepas menopaus.

  • Kehamilan

Sistem saliran dari ginjal ke pundi kencing menjadi luas semasa hamil, oleh itu air kencing tidak mengalir dengan cepat. Ini meningkatkan risiko mendapat UTI.

Lain-lain faktor risiko mendapat UTI termasuk:

  • Saluran kencing tersumbat

Orang yang mengalami saluran kencing tersumbat seperti yang disebabkan batu dalam ginjal atau prostat membesar adalah lebih berkemungkinan mendapat UTI disebabkan adanya halangan kepada aliran air kencing.

  • Diabetes

Penghidap diabetes mungkin mempunyai sistem imun yang lemah, menjadikan mereka lebih mudah mendapat UTI.

  • Penggunaan kateter

Bakteria pada kateter urinari boleh menjangkiti pundi kencing.

» Rujukan

  1. National Kidney Foundation. 2010. Urinary Tract Infections. New York: National Kidney Foundation. Inc.
  2. Foxman, B. 2002. “ Epidemiology of urinary tract infections: incidence, morbidity, and economic costs.” American Journal of Medicine 113(Suppl 1A): 5S–13S.
  3. Foxman, B. 2000. “Risk Factors for Second Urinary Tract Infection among College Women.” American Journal of Epidemiology 151(12): 1194-1205.
  4. Encyclopedia of Health, 7th New York: Marshall Cavendish, 2010.
  5. Kidney Health Australia. 2014. “Urinary Tract Infections Fact Sheet.”
  6. Nitzan, O., Elias, M., Chazan, B. & Saliba, W. 2015. “Urinary tract infections in patients with 2 type diabetes mellitus: review of prevalence, dianogsis, and management.” Diabetes, Metabolic Syndrome and Obesity: Targets and Therapy 2015; 8:129-136.

» Tutup Rujukan

UTI boleh berlaku dalam banyak cara. Yang berikut boleh meningkatkan risiko bakteria memasuki sistem saluran kencing anda:

  • Tabiat kebersihan di bilik air yang tidak baik

Mengesat dari belakang ke depan selepas membuang air besar boleh menyebabkan bakteria dari kawasan dubur merebak ke uretra, seterusnya meningkatkan risiko berlakunya jangkitan.

  • Aktiviti seksual yang kerap

Hubungan seks meningkatkan risiko bakteria tersebar di kawasan kemaluan dan memasuki uretra. Oleh itu seks yang kerap menambah risiko mendapat UTI, sama seperti mempunyai berbilang pasangan seks.

  • Menahan kencing untuk tempoh yang lama

Apabila air kencing berada dalam pundi kencing untuk tempoh yang lama, bakteria akan membiak berkali ganda dalam saluran kencing lalu menyebabkan UTI.

  • Menopaus

UTI yang berulang mungkin adalah lebih lazim berlaku kepada wanita yang telah putus haid kerana kekurangan estrogen yang menyebabkan perubahan dalam faraj lalu meningkatkan risiko mendapat UTI.

  • Alat pencegah kehamilan yang tertentu

Diafragma mungkin akan memampatkan uretra dan menyebabkan sukar untuk mengosongkan pundi kencing.
Agen spermisid mungkin akan menyebabkan pertumbuhan bakteria dengan cara mengubah flora semula jadi faraj.

» Rujukan

  1. U.S. Department of Health and Human Services, Office on Women’s Health. 2008. “Urinary Tract Infection (UTI) Fact Sheet.”
  2. Ral, R. 2011. “Urinary Tract Infection in Postmenopausal Women.” Korean Journal of Urology 52:801-808.

» Tutup Rujukan

Bukan semua UTI boleh dicegah tetapi mengubah beberapa tabiat setiap hari boleh mengurangkan risiko mendapat UTI. Ini termasuklah:

  • Mengamalkan tabiat kebersihan yang baik di bilik air

– Mengesat dari depan ke belakang selepas menggunakan tandas.

– Jangan berlengah untuk ke tandas apabila anda perlu kencing.

– Jangan pancutkan air atau menggunakan sabun, minyak mandian, krim vagina dan losyen atau semburan deodoran kerana bahan-bahan ini boleh mengubah flora faraj dan akhirnya menyebabkan UTI.

– Gunakan tuala wanita dan bukannya tampon. Tukar tuala setiap 3-4 jam.

  • Tabiat kebersihan seksual yang baik

Buang air kecil dan basuh kemaluan sebelum dan selepas melakukan hubungan seks.

  • Gunakan seluar dalam daripada kapas

Elakkan seluar dalam daripada fabrik sintetik yang memerangkap lembapan dan menggalakkan pertumbuhan bakteria.

  • Minum air

Minum sekurang-kurangnya 6-8 gelas air setiap hari dan cuba hadkan minuman yang merengsakan pundi kencing seperti alkohol dan kafein.

» Rujukan

  1. U.S. Department of Health and Human Services, Office on Women’s Health. 2008. “Urinary Tract Infection (UTI) Fact Sheet.”
  2. Stockport NHS Foundation Trust. 2014. “The prevention of urinary tract infections advice. Information Leaflet.”

» Tutup Rujukan

Mitos 1: UTI ialah penyakit kelamin (Sexual Transmitted Disease – STD)

Fakta: UTI berlaku apabila bakteria masuk ke dalam saluran kencing dan membiak. Oleh kerana uretra terletak hampir dengan faraj, melakukan hubungan seks boleh meningkatkan risiko mendapat UTI tetapi ia tidak menjangkiti pasangan yang satu lagi.

Mitos 2: UTI hanya berlaku kepada wanita

Fakta: Orang lelaki juga boleh mendapat UTI tetapi ia jarang berlaku. Sementara kebanyakan UTI berlaku kepada wanita (50%), lebih kurang 12% lelaki akan mendapat UTI dalam hayat mereka. UTI yang berlaku kepada lelaki mungkin disebabkan oleh kelenjar prostat membesar yang boleh menyekat aliran air kencing.

Mitos 3: Tabiat kebersihan diri tidak baik menyebabkan UTI

Fakta: Mendapat UTI bukan bermakna anda mempunyai tabiat kebersihan diri tidak baik. Sebenarnya, anda mungkin tidak melakukan apa-apa yang salah tetapi masih mendapat UTI. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk mengesat daripada depan ke belakang selepas menggunakan tandas kerana mengesat dalam arah yang bertentangan boleh menyebabkan bakteria dari kawasan dubur memasuki uretra dan meningkatkan risiko mendapat UTI.

Mitos 4: Mengambil pil perancang kehamilan akan meningkatkan risiko mendapat UTI

Fakta: Tiada bukti saintifik atau klinikal yang boleh dipercayai yang mengaitkan pil perancang kehamilan dengan UTI. Walau bagaimanapun, jenis perancang kehamilan yang tertentu seperti diafragma dan agen spermisid boleh meningkatkan risiko mendapat UTI.

» Rujukan

  1. Suszynski, M. 2010. “9 Myths and Facts About Urinary Tract Infections.”
  2. National Association for Continence. 2015. “Urinary Tract Infection.”
  3. Virginia Urology, US. 2015. “Myths about UTI.”

» Tutup Rujukan